Friday, November 5, 2010

idola sahir sabri

Bustamam Mokhtar Mario Testino Malaysia?

Bustamam Mokhtar Mario Testino Malaysia?.
KEAJAIBAN industri fesyen tanah air belum pernah dirakamkan dengan penuh semangat, keghairahan berbekalkan sentuhan peribadi dan nilai estetika sehinggalah muncul Bustamam Mokhtar.
Hasil karya unggul Bustamam, 40, boleh dikatakan hampir menyamai syot dan ‘rasa’ adi fesyen jurugambar fesyen terkemuka, Mario Testino menerusi Vogue. Jika kurang percaya, dapatkan naskhah majalah fesyeh terbaru di pasaran dan nilai sendiri interpretasi fesyen dari lensa Bustamam.
Pun demikian, ada sesuatu yang lebih istimewa ingin dipersembahkan oleh beliau.
Sebagai bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pernah berkhidmat selama enam tahun di salah sebuah akhbar arus perdana, Bustamam nekad mengetengahkan keunikan budaya Malaysia menerusi sumbangannya dalam industri fesyen.
Lalu beliau menjadi bersemangat apabila membincangkan isu etika dan tata susila model apabila memperagakan fesyen untuk pasaran tempatan walaupun dipengaruhi trend Barat.
“Contohnya, duduk terkangkang. Kita ni orang Melayu, apa salahnya ambil pendekatan lebih sopan tetapi masih menyerlahkan elemen high fashion dan avant garde,” jelasnya.
Bustamam percaya amat penting untuk melihat ke Barat untuk menimba pengalaman dan kemahiran namun apabila hendak mempraktikkan pengetahuan tersebut, individu berkenaan harus mengenal asal usul sendiri untuk melahirkan karya mengikut acuan sendiri.
Gaya Mario Testino
Bustamam merupakan peneraju White Studio.
Justeru beliau cukup berhati-hati tetapi optimis sewaktu berbicara soal perbandingan antara industri fesyen Malaysia dengan pusat fesyen dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Menurutnya, tidak adil jika dibandingkan antara pasaran 24 juta pengguna tempatan dengan 280 juta pengguna AS, contohnya.
Apabila pasaran lebih besar, industri terpaksa memacu pertumbuhan pesat bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bijak membuat pilihan.
“Di Malaysia, hanya sekitar pertengahan era 90-an kita mula memberi tumpuan terhadap pentingnya kulit majalah dan ketika itu generasi editor muda seperti Mama Juwie, Wirda Adnan dan Nurimy Aimi membuka mata kita terhadap keindahan fesyen.
“Sedangkan Patrick Demarchelier sudah bekerja dengan majalah fesyen sejak 1957 lagi. Hasilnya, perkembangan trend dan fesyen menjadi penting bagi sejak awal lagi,” katanya.
Bustamam turut tergelak apabila disamakan dengan Testino yang terkenal dengan kempen Burberry, Gucci, Versace, Calvin Klein, Michael Kors dan banyak lagi.
Katanya, Testino merupakan seorang ikon yang memperuntukkan sejumlah waktu yang besar dikelilingi oleh setiap elemen dalam industri fesyen.
“Fesyen berada di hadapan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah beliau. Paris dan Milan terlalu hampir dengannya,” jelas Bustamam.
Profesional
Ketika menuntut di UiTM, Bustamam mendapat ilham ‘meniru’ iklan Guess menampilkan Claudia Schiffer pada beg hadiah jenama itu.
Beliau jatuh cinta dengan teknik penggambaran fesyen dan mengambil peluang mendalami bidang tersebut dengan terbang ke pusat fesyen Asia, Jepun.
Setelah belajar menguasai bahasa Jepun di Foreign Language School Bunka, beliau mendaftar di Tokyo Visual Art Studio dengan menumpukan terhadap bidang fotografi.
Di negara kelahiran ‘harajuku’ itu, Bustamam menimba pengalaman awal dalam bidang fotografi fesyen di bawah Bruno Dayan, Bustamam sedar bahawa status profesional datang dengan bebanan tanggung jawab yang cukup besar. Lebih-lebih lagi apabila jurugambar dianggap ‘ketua kapal’ dan ia menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah projek.
“Industri kita memerlukan orang-orang yang betul-betul hendak bekerja. Sebab itu Glam berjaya mengangkat industri fesyen ke tahap seterusnya. Jika Glam atau Vogue mempunyai orang yang sekadar 50-50, ia tidak akan berjaya seperti sekarang.
“Industri fesyen sesuatu yang cukup sukar. It’s either you’re in or you’re out, jadi sesiapa yang ingin menceburinya harus buat sehabis baik,” tegasnya.
Bustamam bagaimanapun kurang bersetuju dengan sesetengah pendatang baru yang ingin mengetengahkan sesuatu yang ‘berbeza’ kepada industri. Katanya, tidak semestinya ‘lain’ itu bagus, sebaliknya pendekatan terbaik adalah menonjolkan keindahan sedia ada.
Beliau mengakui bahawa pasukan kreatif majalah fesyen itu amat teliti dalam menguruskan projek fotografi bagi memastikan keberkesanan perjalanan fotografi dan memahami keperluan profesional demi kelancaran serta kecemerlangan hasilnya kelak.
Di samping itu, Bustamam memberitahu, komunikasi dan pergaulan amat penting untuk memajukan pencapaian dalam industri serba sengit itu termasuk menjalin hubungan erat dengan jurugaya, pendandan rambut pereka fesyen dan model.
Sebagai jurugambar fesyen profesional bertaraf antarabangsa, Bustamam tidak kekok berbahasa Jepun dan Perancis malah mula menguasai bahasa Russia dan Portugis bagi memudahkan komunikasi apabila bekerjasama dengan model-model yang kebanyakannya datang dari negara berkenaan.
Bustamam juga bercakap mengenai cabaran mendekati para model yang mempunyai personaliti pelbagai mengikut negara asal masing-masing: “Model Russia lebih keras, dingin sementara model dari Brazil pula lebih mesra dan ceria.”
White Studio
Sebelum mencipta nama dalam bidang fotografi fesyen, Bustamam sudah bercita-cita mengendalikan studio fotografi sendiri. Hari ini, White Studio dianggap peneraju studio fotografi tercanggih dan terbesar dalam industri.
White Studio atau nama asalnya Jubang Sutajio (Studio 10th dalam bahasa Jepun) ditubuhkan pada 1996 dan kini mempunyai keluasan 210 meter persegi dan terbahagi kepada Studio A seluas 74 meter persegi untuk penggambaran personaliti, fesyen dan editorial.
Sementara Studio B (136 meter persegi) mempunyai cukup ruang untuk memuatkan sebuah kereta. Antara iklan yang pernah dijayakan termasuk Honda dan Ferrari. Studio berkenaan juga dilengkapi kesan khas seperti hujan selain peralatan fotografi digital terkini.

Untuk maklumat lanjut, layari www.whitestudiokl.com.

1 comment: